‘Islam Liberal’ wacana terdesak
Oleh:Fathi Aris Omar
09:00pm
16 Mei 2005
Di kalangan aktivis politik agama dan kelompok dakwah sekarang, label ‘Islam
Liberal’ semakin menarik perhatian. Bulan ini sahaja, ada dua pertemuan yang meninjau
‘cabaran’ dan ‘ancaman’ aliran ini, diadakan di Johor Bahru dan di Kuala
Lumpur.
‘Islam Liberal’, atau sebutan ringkasnya ‘Islib’ sahaja, dianggap sejenis
lagi masalah (mungkin ‘masalah terbesar’?) dalam tubuh umat Islam yang perlu
diketepikan dan diawasi. Islib itu, seperti digambarkan di negara kita,
sekumpulan wacana yang seakan-akan atau berdekatan dengan sekelompok aktivis di
Komunitas Utan Kayu (KUK), Jakarta yang dikenali Jaringan Islam Liberal (JIL).
Pada mulanya ia muncul dalam bentuk kumpulan diskusi senarai e-mel pada awal
2001. Dipimpin, antaranya oleh Ulil Abshar-Abdalla, JIL juga menerbitkan
beberapa buku, misalnya Wajah Liberal Islam di Indonesia.
Awal Mac lalu, JIL baru menyambut ulang tahun keempat dengan daya tarik yang
luar biasa, jauh lebih ramai daripada acara-acara lain di KUK. Beberapa ratus
orang hadir setiap hari. Saya dimaklumkan diskusi falsafah, antaranya agama,
sering menarik perhatian golongan muda dan aktivis di kota ini – berbanding,
misalnya, diskusi sastera atau media.
Walau JIL masih muda tetapi reformasi pemikiran agama di republik ini
tidaklah baru, malah sentiasa wujud sejak beberapa dekad lalu lagi. Republik
ini didirikan bersama kesedaran intelektual yang serius (kalau pun tidak
mendalam), tidak seperti sejarah negara kita.
Sejumlah debat politik, kebudayaan, pemikiran nasionalisme dan kenegaraan,
tidak terkecuali perbahasan hubungan agama dengan negara, muncul dari
pejuang-pejuang muda kemerdekaan sama ada ketika mereka di Eropah atau pulang
ke tanahair. Misalnya, ‘Polemik Kebudayaan’ 1935 atau Sumpah Pemuda kurang
lebih sedekad sebelumnya.
Mengepung fikiran massa
Menjelang kemerdekaan republik ini pada 1945, ketika mahu merumuskan
rukun-rukun dasar negara, debat agama dan negara telah berlangsung. Debat itu
diteruskan lagi dalam sidang-sidang parlimen sedekad selepasnya (1956-59).
Sejak itu, idea-idea pemikir Islam tentang negara atau politik terus berkembang
– sama ada yang pro-syariat, menentangnya atau mencari kesesuaian ‘jalan
tengah’ antara kedua-duanya.
Senario sekarang pula dijelaskan oleh ahli akademik Robert W Hefner:
“Nowhere in the Muslim world have Muslim intellectuals engaged the ideas of
democracy, civil society, pluralism, and the rule of law with a vigour and
confidence equal to that of Indonesia Muslims.” Lihat buku The politics of
post-Suharto Indonesia (1999, editornya Adam Schwarz dan Jonathan Paris).
JIL itu bukan gejala baru, malah sambungan siri-siri wacana dan pemikiran
tokoh-tokoh di negara jiran kita, misalnya turut dikenali di negara kita
Nurcholish Madjid (juga digelar Cak Nur) dengan slogannya Islam ‘yes’, partai
Islam ‘no’ sejak 1971.
Tetapi kata, label dan wacana ‘Islam Liberal’ di negara kita saat ini membawa
gendang tari berbeza, dengan irama dan rentak wacana ‘telunjuk lurus,
kelingking berkait’. Label ini dikembangkan oleh PAS dan beberapa pihak yang
dekat dengan pertubuhan Islam seperti Jamaah Islah Malaysia (JIM).
Label ini dijadikan alat untuk mengepung minda orang Islam seperti Dr
Mahathir Mohamad yang pernah menyerang Barat, setiap kali kita menuntut ruang
demokrasi, kebebasan, keadilan sosial dan hak asasi manusia.
Pengamat isu semasa dan aktivis politik pembangkang tentu sedar bahawa sikap
anti-Barat yang digembar-gemburkan Dr Mahathir itu semata-mata bertujuan mengepung
fikiran massa, menimbulkan kesan ‘kebencian’ dan ‘ketakutan’ terhadap Barat –
pada waktu yang sama melupakan persoalan nyata (real) yang bergolak di dalam
negeri, antaranya sikap keras dan tidak demokratik beliau sendiri.
Menentang penguatkuasaan moral
Label dan sejumlah wacana ‘Islam Liberal’ di negara kita tidak ubah taktik
buruk dan propaganda murahan Dr Mahathir itu – yang kononnya tidak digemari
oleh PAS atau aktivis Islam. Kononnya musuh Islam ada di mana-mana, tidak cukup
berwajah ‘Barat’ dan ‘Yahudi’, musuh Islam muncul dalam tubuh umat Islam
sendiri dan perlu diwaspadai, antara namanya ‘Islam Liberal’.
Label ini perlahan-lahan mendapat panggung utamanya apabila
kumpulan-kumpulan Islam diserang rasa kaget selepas bermunculan isu-isu pokok yang
mereka gagal tangani dengan rasional, tenang dan ilmiah. Isu- isu besar itu,
antaranya, suruhanjaya antara agama (Inter-Faith Commission) dan memorandum
menentang penguatkuasaan moral (peribadi) oleh negara.
Memang kata ‘Islam Liberal’ – cuba dikaitkan dengan JIL atau beberapa wacana
‘bergengsi’ di beberapa negara Islam – sudah ada pada aktivis agama kita.
Namun, belum meluas. Tetapi peristiwa-peristiwa politik pada bulan-bulan
terakhir di Malaysia mengetengahkan ungkapan dan label itu ke tingkat wacana
popular masyarakat kita. Ia mahu dirembeskan ke ruang kesedaran awam.
Label ‘Islam Liberal’ dijadikan sejenis ‘gertak sosial’ yang menakutkan
supaya sebarang wacana perubahan dalam pemikiran umat Islam atau kritik agama
mengalami jalan buntu. Sebab itu, pada hemat saya, label yang dibawa oleh
aktivis agama kita ini akan membantut proses perubahan pemikiran orang Melayu.
Ia boleh mencipta mental block atau hadangan nalar yang baru.
Pemakaian label dan wacana ‘Islam Liberal’ di negara kita dikaitkan dengan
Sisters-in-Islam (SIS), gejala imam Amina Wadud, gerakan anti-hadis Kassim
Ahmad, beberapa yayasan luar negara yang mempromosi demokrasi, program kerajaan
yang dimusuhi mereka (misalnya ‘Islam Hadhari’) atau artikel Astora Jabat di
Mingguan Malaysia. Semuanya dipukul borong! Strategi seumpama ini memang ciri
khas propaganda dan taktik ‘klasik’ kepungan minda.
Dalam satu siaran akhbar Dewan Pemuda PAS menjelang demonstrasi mereka pada
15 April 2005 (Jumaat), bagi menentang 50 NGO anti-kawalan moral itu, nama-nama
yang disebutkan tadi dirangkum sekaligus bagi membesar-besarkan rasa cemas umat
Islam dan (pada waktu yang sama) meraih pulangan politik.
Mengobarkan semangat bergerombolan
Bersesuaian pula dengan seruan presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada minggu
itu, di muka depan Harakah (edisi 16-30 April), “jangan undang huru-hara.”
Kemudian mereka mengedar pula beberapa ribu risalah kepada umum, tanpa
penjelasan duduk perkara sebenar, tentang apa yang mereka label ‘bahaya Islam
Liberal’
Hujung dua minggu lalu, seorang pemimpin PAS dengan nada beremosi mengecam
kenyataan presiden Gerakan, Lim Keng Yaik pula, berhubung isu pendidikan Islam
di sekolah-sekolah kita. Beberapa tulisan (posting) di Internet juga sarat
dengan emosi seumpama Mohamad Sabu membakar emosi ini sehingga umat Islam,
orang Melayu dan rakyat Malaysia (yang tidak berfikir) kabur duduk perkara
sebenar sesuatu persoalan.
Perang ini perang psikologi taraf rendah, usaha mengepung minda kolektif. Ia
bukan usaha membuka wacana yang mencerahkan akal tentang beberapa isu dasar
awam (public policy) dan hubungannya dengan agama. Bukan mendidik rakyat
memperhalusi isu, mengajar orang ramai tentang pokok dan isi persoalan negara
(dan kaitannya dengan agama) secara rasional, kritis dan tenang. Tetapi,
mengobarkan semangat bergerombolan (atau, herd mentality) dalam wacana politik.
Ketika berdemonstrasi, mentaliti gerombolan disebut ‘mob rule’.
Lagak mereka ini, seimbas lalu, seperti anak-anak hingusan – tidak mampu
memujuk ibu bapa membeli barang kesukaannya, anak akan duduk mengeras diri,
menghentak-hentakkan kaki atau meraung-raung sekuat hati tanpa mempedulikan
sekeliling lagi! Jika tidak suka perlambangan anak ini, dalam bahasa politik,
kita boleh sebut lagak aktivis Islam ini sejenis ‘pendekatan fasisme’ dalam
mengepung minda orang ramai.
Dalam bahasa teori Jurgen Habermas pula, kumpulan-kumpulan Islam ini
mengambil tindak strategik (yakni, sarat kepentingan, tidak telus dan tidak jujur),
bukan tindak komunikatif dan diskursif (discursive). Mereka memanipulasi
persoalan dan memberat-sebelahkan wacana menjadi tidak berimbang, termasuk
melalui tekanan di luar proses wacana.
Pendek kata, mereka bercadang untuk ‘menang’, meraih keuntungan politik,
bukan untuk membentangkan posisi dan keyakinan politik mereka sendiri kepada
rakyat agar orang ramai nampak jernih persoalan-persoalan, mempertimbangkannya
dan kemudian membuat keputusan. Supaya fikiran masyarakat menjadi lebih
berstruktur, berdaya analisa, matang dan tinggi tingkat penghujahannya; supaya
rakyat ‘celik politik’.
Celik politik
Minda awam yang ‘celik politik’ akan cenderung independen, kritis dan tidak
mudah dikawal lagi. Minda awam seperti ini diperlukan di negara kita ke arah pemupukan
demokrasi. Tetapi PAS, kumpulan-kumpulan Islam dan Umno sama sahaja –
melemahkan pemikiran massa dengan menyebarkan propaganda selapis, berpihak,
beremosi, pandangan sehala, dan tidak jamak perspektif.
Lagak anak-anak ini, rupa-rupanya ada juga pada Persatuan Ulama Malaysia
(PUM) sewaktu menghantar memorandum kepada Majlis Raja-raja pada tahun 2002.
Yakni, sifat ‘manja’ dan ‘mengada-ngada’ untuk menagih simpati orang berkuasa!
Saya semak kembali kenyataan akhbar PUM dan beberapa organisasi Islam itu untuk
memahami psikologi, taktik politik dan kaedah wacana kumpulan-kumpulan Islam
apabila berdepan dengan isu-isu nasional.
Rupa-rupanya ternyata lagak aktivis-aktivis Islam tidak jauh daripada Umno
dan Barisan Nasional! Sikap membakar emosi dan menggembar-gemburkan isu (dalam
kes ini, PUM berbeza) tetapi bukan menghuraikan pokok persoalan, inti debat dan
duduk perkara sebenar. Inilah kaedah yang diwarisi di sebalik label dan kempen
‘Islam Liberal’.
Label ini dijadikan jalan pintas untuk mengelak isu-isu pokok dan lari ke
ruang propaganda yang menyeramkan jiwa umat – satu lagi projek membius fikiran
penganut agama.
Pendekatan seumpama ini pernah ditimpakan kepada Malaysiakini.com, Anwar
Ibrahim, Team B Umno (1987-88), kumpulan anak muda ‘black metal’, parti-parti
pembangkang dan beberapa kumpulan aktivis Cina. Pendek kata, wacana pop kepada
umum dijadikan senjata serangan terhadap ‘musuh’, bukan kaedah berkomunikasi
dengan rakan dialog yang setara untuk saling memahami – satu proses panjang ke
arah konsensus kolektif yang penuh sedar, sengaja dan bertanggungjawab.
Jika Umno memanipulasi sentimen Melayu, kumpulan-kumpulan Islam memanipulasi
sentimen agama. Warna topeng wacana sahaja berlainan corak tetapi struktur,
strategi manipulasi dan taktik tanpa demokrasi di sebaliknya tidak jauh
berbeza.
Bantutkan reformasi politik
Pendekatan seumpama ini, bagi hemat saya, sisa-sisa projek ‘pembodohan Umno’
(seperti dihurai dua tahun lalu di sini) yang sudah melimpah ke takung
pemikiran kumpulan-kumpulan agama dan PAS. Semua isu awam akhirnya tidak
jernih. Semuanya diselaputi nada cemas, amaran atau gertak psikologi. Wacana
bertambah kusut, hujung dan pangkal isu tidak dikenali lagi.
Oleh itu, umat Islam akan lambat berfikir secara independen untuk menentukan
sikap sendiri, dan selama-lamanya mereka memerlukan kumpulan, parti atau ketua
tertentu untuk memandu arah mereka. Siapa lagi yang boleh memimpin, kalau bukan
puak-puak Islam ini?
Tidak diragukan lagi, cara kempen ‘Islam Liberal’ seperti dibawa oleh PAS dan
aktivis-aktivis dakwah akan membantutkan langkah-langkah reformasi politik,
bangsa dan agama kita. Sebab itu, kita semua harus bertegas dalam persoalan
ini.
Sepatutnya aktivis Islam dan pemikir agama di negara kita berasa malu dengan
wacana serong ‘Islam Liberal’ mereka saat ini kerana tidak sebanding
rakan-rakan sejawat mereka dari negara jiran yang serius, beragam, mendalam dan
sungguh-sungguh meneroka isu-isu agama, masyarakat sivil, demokrasi dan
pluralisme.
Baru-baru ini dilancarkan buku ‘Islam, negara dan civil society: Gerakan dan
pemikiran Islam kontemporer’ yang dikarang oleh 22 pemikir dan aktivis,
sebilangannya masih muda.
(Tetapi gerakan Islam di sini melahirkan seorang penulis muda, apatah lagi
pemikir, berbakat pun tidak mampu. Hampir semua tulisan di penerbitan Islam
kita, termasuk laman-laman web, bertaraf ‘hampas’ sahaja. Manisnya ada di
republik tetangga kita – tetapi egoisme sesetengah orang Malaysia sering lebih
besar daripada akal mereka!)
Untuk apa kita berpura-pura
Maka, tidaklah hairan, apabila kumpulan-kumpulan Islam di negara kita enggan
sama sekali mengiktiraf satu kenyataan pahit ini – sememangnya di dalam tubuh
umat Islam itu sendiri ada ‘rasa gelisah’ yang sangat dalam. Rasa ‘gelisah’
pada jawapan-jawapan dangkal dan tradisional, pada sikap-sikap mundur pemikir
dan aktivis Islam, pada persoalan-persoalan semasa yang masih tergantung tanpa
jawapan meyakinkan.
JIL, Amina Wadud, Taliban, SIS dan Jamaah Islamiyah (JI) itu bukan wacana
Barat, Yahudi atau Amerika Syarikat seperti suka digembar-gemburkan oleh
aktivis-aktivis agama. Kita selalu ingin menyisihkan mereka. Mereka bukan
daripada ummah, begitulah nada kita demi menjaga air muka sendiri apabila telah
terconteng arang. Ada sindrom sangkalan (denial syndrome) yang tebal bersarang
bersama kita, sebenarnya.
Sama seperti negara ini memenjarakan penganut-penganut Syiah, menafikan hak
mereka untuk belajar di universiti Islam kita atau memecat mereka daripada
menganggotai PAS.
Hakikatnya, walau bagaimana nakal dan jahatnya ‘anak’ kita, “air dicincang,
tidak akan putus.” Sepotong tazkirah dari lagu dalam filem ‘Ada apa dengan
Cinta’, “jujurlah pada hatimu…” Untuk apa kita berpura-pura? - ehsan
Malaysiakini, 16 Mei 2005
Nota: Fathi Aris Omar, bekas editor berita Malaysiakini.com, telah
dipilih sebagai felo program Asian Public Intellectuals (API) Fellowships
tajaan Nippon Foundation bagi sesi 2004/2005; kajiannya menumpukan peranan
ruang awam menurut pemikiran Juergen Habermas. Penulis ini telah
menjalankan kajian budaya dan media di Jakarta, antaranya, tentang sejarah,
perkembangan dan wacana Jaringan Islam Liberal (JIL).