Tiada gunanya dipaksa
Friday, September 15th, 2006Apa yang saya bimbang selama ini, kini telah berlaku. Baru-baru ini, terdapat ugutan bunuh terhadap saudara Malek Imtiaz Sarwar di edarkan di Internet(TheStar,31-Aug-2006).Ancaman bunuh ini dibuat kerana Malek Imtiaz mengetuai pasukan yang membela kebebasan untuk pindah agama dan juga membela semangat perlembagaan.
Ini menunjukkan bahawa Islam dengan wajahnya yang keras, penuh pemaksaan, dan intoleransi. Yang bertambah malang lagi, apabila beberapa kelompok Islam sanggup untuk menghalalkan darah saudara Islam yang lainnya.Bermula dengan ancaman-ancaman bunuh yang disebarkan didalam bentuk poster dan seterusnya email/internet. Saya tidak akan terkejut jika terdapat individu yang terpengaruh dengan sebaran tersebut,lalu ingin berbakti kepada agama yang dicintainya, akhirnya melakukan satu pembunuhan. Tidak hairanlah, mengapa perkara sebegini pernah terjadi sebelumnya di dalam dunia Islam.
Islam tidak menganjurkan untuk mencaci,mencederakan bahkan membunuh barangsiapa yang engkar akan ajaran Islam, hatta sekalipun tidak mahu memeluk agama Islam itu sendiri.Beberapa ayat suci Al-Quran telah menjelaskan akan hal ini.
"Kalau seandainya Tuhanmu mengkehendaki, tentu berimanlah semua manusia dibumi ini. Maka apakah engkau (Muhammad) akan memaksa manusia sehingga mereka menjadi orang-orang beriman semua?!" (Yunus : 99)
fadzakkir innama anta mudzakkir lasta ‘alayhim bi mushaythir
"Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka". (Al-Ghaasyiyah : 21,22)
"…Dan katakanlah kepada orang-orang yang telah diberi al-Kitab dan kepada orang-orang ummi: ‘Apakah kamu mahu memeluk Islam? Jika mereka memeluk Islam, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk, dan jika mereka berpaling, maka kewajipan kamu hanyalah menyampaikan (ayat-ayat Allah). Sesungguhnya Allah Maha melihat hamba-hambanya.."(Ali Imran : 20)
Islam berprinsip pada perdamaian dan kebebasan untuk memilih. Tidak ada unsur paksaan atau keharusan.Sejarah telah menunjukkan bahawa pemeluk agama Nasrani di Arab, pada masa awal penyebaran Islam, tetap diberi kebebasan untuk menganut agamanya dengan kebebasan penuh.. Saidina Umar bin Khaththab pada prinsipnya tidak membezakan penduduk muslim dengan non-muslim.
Begitu juga yang terjadi terhadap Abu al-Husein, seorang sahabat Nabi asal kota Madinah (Anshar) yang sangat taat beragama. Dua orang anak laki-lakinya yang bekerja sebagai pedagang minyak, telah pindah agama kepada Kristian. Ini kerana mereka selalu mendapatkan bekalan daripada pedagang-pedagang Syam yang menyebarkan dakwah Kirstian. Kerana bimbang tidak akan mendapat barang-barang dagangan yang di ingini, maka mereka pun memasuki agama Kristian.
Mendengar akan kedua anaknya masuk Kristian, Abu al-Husein menjadi sangat marah dan terpukul. Lalu dia pun mendatangi Nabi dan mengadukan perkara yang menimpanya itu. Lalu, turunlah ayat terkenal: "la ikraha fi al-din"
"Tidak ada paksaan dalam din(Islam).."(al-Baqarah: 256)
Saya sangat bersetuju dengan pandangan oleh saudara Luthfi Assyaukanie, dimana sebagai seorang muslim yang pro-demokrasi, beliau sendiri cenderung tidak mempersoalkan seseorang untuk berpindah agama kerana dua alasan.
Pertama, tidak ada gunanya seseorang dipaksa berada di dalam suatu agama sementara yang bersangkutan sudah tidak merasa selesa,nyaman dan at-home dalam agama itu. Memeluk suatu agama dengan keterpaksaan ini adalah cara beragama yang pura-pura. Beragama yang fresh adalah beragama yang berangkat dari kesadaran batin yang mendalam dan dengan keyakinan penuh perihal kebenaran ajaran agama itu. Kedua, setiap orang memiliki hak untuk masuk dalam suatu agama atau keluar dari suatu agama. Itu adalah hak fundamental yang terpahat pada setiap orang.
